ULASAN BUKU
Norazah Mohd Nordin & Mohamed Amin Embi. 2008. Pengintegrasian ICT dalam Pendidikan: Penyelidikan, Amalan dan Aplikasi. Shah Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd. 166 hlmn.
Buku ini membincangkan pengintegrasian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam pendidikan terutamanya dalam pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah dan pengajian tinggi dari aspek penyelidikan, amalan serta aplikasi. Buku ini mengandungi 11 bab yang merangkumi pelbagai aspek pengintegrasian Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pendidikan.
Bab 1 bertajuk Pengintegrasian ICT dalam Pengajaran dan Pembelajaran: Isu dan Cabaran. Dalam bab ini penyelidik membincangkan isu dan cabaran pengintegrasian Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pendidikan terutamanya dalam pengajaran dan pembelajaran. Antara aspek yang disentuh ialah pengintegrasian TMK, pelaksanaan pengintegrasian TMK, Model Pengintegrasian TMK serta cabaran-cabaran dalam pengintegrasian TMK. Pengintegrasian TMK dalam kurikulum dapat membantu murid memperkembangkan kebolehan dari segi mengguna, mengurus dan memahami TMK. Pengintegrasian TMK juga menggalakkan pembelajaran yang lebih terarah kendiri, mengakses maklumat dengan sendiri dan melakukannya mengikut kemampuan sendiri. Dalam isu pengintegrasian TMK ini, semua pihak harus bersedia untuk memberi kerjasama yang sewajarnya agar pelaksanaannya lebih berkesan. Guru-guru perlu merancang secara berfikrah, sistematik dan bersesuaian supaya TMK yang digunakan benar-benar memberi kesan kepada proses pengajaran dan pembelajaran.
Bab 2 bertajuk Penggunaan SSMS sebagai Teknologi Instruksi dalam Pengajaran dan Pembelajaran: Cabaran dan Amalan Penggunaan ICT dalam Perubahan Terancang di Sekolah Bestari. Bab ini memperihalkan penggunaan Smart School Management System (SSMS) sebagai teknologi instruksi dalam pengajaran dan pembelajaran di Sekolah Bestari. Bab ini memberi fokus terhadap pemerihalan dapatan kajian mengenai masalah dan cabaran penggunaan SSMS dalam proses pengajaran dan pembelajaran di Sekolah Bestari. Menurut penyelidik, penggunaan SSMS sebagai teknologi instruksional dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah bestari belum diguna secara optimum di sekolah bestari. Terdapat beberapa orang guru yang tidak dapat memahami dengan baik konsep pembelajaran yang diterapkan dalam SSMS. SSMS bertujuan untuk menggalakkan pembelajaran secara akses kendiri, terarah kendiri dan pembelajaran kadar kendiri. Justeru, amalan bagi ketiga-tiga konsep pembelajaran ini terutama dari segi penggunaan SSMS dalam pembelajaran dan pengajaran ini boleh dipertingkatkan lagi. Bagi memantapkan pelaksanaan sekolah bestari dan penggunaan SSMS sebagai teknologi instruksional, kelapan-lapan masalah yang disebutkan oleh penyelidik iaitu masalah teknikal, kewujudan dua silibus, jumlah pelajar yang ramai, berorientasi peperiksaan, kesahan pentaksiran, beban tugas guru dan masalah kandungan yang terdapat bahan pengajaran dan pembelajaran perlulah diatasi dan diperbaiki.
Bab 3 membincangkan model pengintegrasian penggunaan web dalam bilik darjah dengan menggunakan perisian Webquest bagi subjek Matematik. Selain menerangkan konsep Webquest, bab ini juga menerangkan bagaimana memilih Webquest, mengukur kemahiran teknologi pelajar, mengenal pasti pengetahuan, mentafsir kemampuan komputer, mewujudkan fail salinan simpanan, menetapkan masa penggunaan komputer, membuat penilaian dan sebagainya. Dalam penulisan ini, penyelidik memberi beberapa cadangan kepada guru-guru dalam penggunaan Webquest. Cadangan yang diberi ini dapat membantu guru-guru dalam pengalaman pengendalian pembelajaran Webquest yang berkesan untuk pelajar daripada pelbagai tahap pencapaian.
Bab 4 juga membincangkan satu lagi aplikasi pengintegrasian TMK dalam pengajaran dan pembelajaran iaitu sistem pengurusan pembelajaran terbuka MOODLE. Selain menerangkan kepentingan pengajaran dan pembelajaran berasaskan web, bab ini juga memperihalkan pelaksanaan MOODLE dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik. Guru atau pendidik boleh mengambil peluang daripada kekuatan sistem ini bagi melaksanakan modul berasaskan web. Melalui platform ini, guru-guru atau pensyarah boleh membina bahan-bahan secara atas talian dengan mudah dan mengikut kreativiti masing-masing.
Bab 5 pula membincangkan cabaran penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam. Antara topik-topik yang disentuh ialah pengintegrasian TMK dalam pengajaran, kepentingan TMK dalam pengajaran, pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer (PPBK) serta isu dan cabaran pengajaran Pendidikan Islam terutamanya dalam konteks integrasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Guru harus menerima hakikat bahawa ia tidak lagi boleh menganggap dirinya sebagai sumber pengetahuan yang tunggal di bilik darjah. Guru pendidikan Islam perlu bersikap positif dalam menerima ledakan teknologi ICT dalam mempelbagaikan pengajaran masa kini. Guru perlu berani mengguna, meneroka, dan mempraktikkan pelbagai kaedah semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas agar lebih mendatangkan kesan yang baik dan menarik tumpuan pelajar.
Dalam bab 6, penyelidik menghuraikan aplikasi ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam khususnya di peringkat sekolah. Selain menjelaskan fungsi TMK dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam, bab ini juga menyenaraikan pelbagai laman web yang boleh digunakan oleh guru dan pelajar bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam di Malaysia.
Bab 7 pula membincangkan integrasi e-Forum dalam pengajaran bahasa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia. Bermula dengan kerangka teori e-Forum, bab ini menyentuh tentang penggunaan e-Forum dalam pendidikan serta e-Forum dalam pedagogi bahasa.
Bab 8 memperihalkan strategi mengakses dan mempelajari maklumat dalam bentuk hiperteks dan hipermedia. Selain menerangkan konsep hiperteks dan hipermedia, penyelidik juga menghuraikan masalah-masalah serta isu-isu berkaitan pembelajaran melalui hiperteks dan hipermedia. Dalam bab ini, penyelidik memperihalkan strategi metakognitif yang boleh digunakan dalam pembelajaran melalui hiperteks.
Dalam bab 9 pula, penyelidik mencadangkan reka bentuk dan penilaian perisian kursus Multimedia Interaktif ACAD R14 yang boleh digunakan bagi penghasilan lukisan persembahan untu pelajar Politeknik di Malaysia.
Bab 10 membincangkan era baru dalam perkongsian maklumat di sekolah iaitu Pusat Sumber Digital (PSD). Selain memberi beberapa definisi Pusat Sumber Digital, bab ini juga menyentuh tentang kepentingan PSD, pembangunan PSD berasaskan web, strategi pelaksanaan PSD di sekolah serta cabaran pelaksanaan Pusat Sumber Digital di Malaysia.
Bab akhir iaitu bab 11 membincangkan satu tajuk yang unik tetapi penting dalam pengintegrasian Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pendidikan iaitu pengetua dalam pembestarian sekolah. Dalam bab ini penyelidik banyak membincangkan tentang peranan pengetua dalam membestarikan sekolah serta kepentingan penggubalan satu polisi tentang penggunaan ICT di sekolah.
Kesimpulannya, buku ini dapat memberi panduan kepada guru dan pendidik yang mempunyai hasrat untuk mengintegrasi serta mengaplikasikan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran mereka sama ada di peringkat sekolah atau pun institusi pengajian tinggi. Secara umumnya buku ini juga dapat memberi panduan kepada saya dalam menjalankan penyelidikan dalam bidang pendidikan komputer & TMK.