ULASAN BUKU
Judul buku: Basic of Social Research – Qualitative and Quantitative Approaches (2nd Ed).
Pengarang: W. Lawrence Neuman
Penerbit: Pearson Education
Tahun terbit: 2004, 2007 (2nd Edition)
Muka surat: 365
Buku Basic of Social Research: Qualitative and Quantitative Approaches (Second Edition) oleh W. Lawrence Neuman merupakan sebuah buku yang membincangkan asas dalam penyelidikan sosial. Kali pertama buku ini diterbitkan ialah pada tahun 2004 dan edisi kedua diterbitkan pada tahun 2007 oleh syarikat penerbitan Pearson Education. Buku ini ditulis bertujuan untuk memenuhi keperluan buku rujukan bagi penyelidik yang ingin membuat kajian penyelidikan. Dalam buku ini, pembaca didedahkan kepada cara-cara membuat penyelidikan dengan lebih mudah.
Kelebihan buku ini adalah ia merangkumi semua aspek dalam proses membuat penyelidikan sehingga memproses data, menganalisis data, mentafsir dan membuat laporan. Buku ini tidak seperti buku-buku yang ada dalam pasaran yang hanya menerangkan beberapa konsep dalam menjalankan aktiviti penyelidikan. Dengan buku ini, penyelidik akan dapat menguasai semua aspek penyelidikan dalam pendidikan.
Penerbitan buku ini adalah usaha penulis bagi melengkapkan bahan rujukan. Buku ini mempunyai 14 bab. Ia terbahagi kepada empat bahagian. Dalam bahagian pertama, penyelidik diberi kefahaman bagi membuat penyelidikan, daripada membuat pernyataan masalah, objektif, persoalan kajian, jenis penyelidikan, hipotesis, persampelan, kebolehpercayaan dan kesahan, dan membina soal selidik. Dalam bahagian kedua pula, penyelidik didedahkan kepada panduan bagi menjalankan kajian kuatitatif, dan menganalisis data kuantitatif. Penulis memberi panduan bagaimana menyediakan data bagi tujuan analisis data. Penulis menekankan bahawa perlunya seseorang penyelidik untuk menguasai pelbagai jenis statistik bagi menguji hipotesis. Bahagian ini juga menerangkan bagaimana hendak memahami dan mentafsir data hasil daripada statistik inferensi. Bahagian ketiga pula membincangkan bagaimana menjalankan kajian kualitatif dan menganalisis data kualitatif manakala bahagian yang terakhir iaitu bahagian keempat memberi panduan kepada pembaca bagaimana menulis laporan sesebuah kajian.
Membaca sesebuah buku tidak semestinya akan mengubah seseorang menjadi seorang penyelidik yang mahir, namun ia akan mengajar pembaca untuk menjadi seorang pengguna yang baik terhadap hasil / dapatan kajian, dan dapat membantu peyelidik memahami bagaimana menjalankan projek penyelidikan. Selepas membaca buku ini, seseorang akan dapat mengetahui apakah yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh sesebuah kajian, dan mengapa perlunya penyelidik menjalankan kajian dengan sistematik. Buku ini bukan sahaja dapat mengisi keperluan pelajar-pelajar, tetapi juga dapat mengisi keperluan penyelidik-penyelidik yang ingin membuat kajian, khususnya para pendidik serta mereka yang terlibat dalam organisasi pendidikan. Buku ini dapat menjadi bahan rujukan dan bacaan berguna bagi golongan pembaca yang ingin mempertingkatkan pembangunan mutu penyelidikan khasnya para pelajar dan penyelidik yang menjalankan kajian dalam penyelidikan pendidikan. Buku ini juga sesuai digunakan bagi penyelidikan pendidikan komputer kerana ia merangkumi semua aspek dalam penyelidikan pendidikan.
No comments:
Post a Comment